Wednesday, August 4, 2010

Negeri yang kian ‘dahaga’

Oleh SAKINA MOHAMED

ADAKAH Selangor akan menghadapi catuan air pada tahun 2014 jika negeri itu masih melengahkan projek penyaluran air dari Pahang? Kerajaan negeri Selangor menafikan kemungkinan catuan itu berlaku dan mengatakan negeri itu mempunyai bekalan air yang cukup sehingga tahun 2019.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) S. Piarapakaran, walaupun perkiraan secara mendatar dibuat, masih nyata bahawa kapasiti air di Selangor kini tidak mencukupi. “WECAM tidak pasti atas dasar apakah yang mereka ambil kira dalam mencapai kesimpulan itu. Kerajaan Selangor perlu menyatakan kaedah perkiraan mereka kepada umum supaya analisis dapat dilakukan,” ujar beliau.

Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung sepenuhnya pada Selangor untuk bekalan air. Keputusan melengahkan projek itu mungkin mendatangkan mudarat kepada semua pihak. Menurut Piarapakaran, angka yang digunakan kerajaan Selangor bagi perkiraan mereka tentang simpanan air di negeri itu juga agak samar.Setelah mengkaji kaedah jangkaan keperluan air oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam Kajian Bekalan Air Negara 2000 hingga 2050, beliau mendapati, jangkaan kenaikan keperluan air diasaskan kepada perkiraan kriteria normal.
“Malangnya, kajian tidak mengambil kira kesan El-Nino dan La-Nina atau bekalan air mentah. Ini juga bermakna model yang digunakan tidak merangkumi kemungkinan senario yang terburuk,” terang Piarapakaran. Selain itu, pihak berkuasa Selangor juga menganggarkan pertambahan keperluan bekalan air berdasarkan unjuran mereka sendiri, kata beliau.

Berdasarkan unjuran WECAM daripada nilai keperluan yang dikeluarkan Syabas baru-baru ini, keperluan dari 1 Jun 2010 hingga 11 Julai 2010 adalah 4,086 juta liter sehari (MLD). Piarapakaran berkata, jika pengguna dapat mengehadkan kenaikan penggunaan air kepada hanya satu peratus setahun, unjuran 4,431 MLD kapasiti rawatan hanya boleh bertahan sehingga tahun 2018 seperti yang diperkatakan kerajaan Selangor.

“Tetapi kenaikan keperluan adalah lebih tinggi. Satu perbandingan mudah bagi tahun 2007 dan 2008 menunjukkan kenaikan keperluan adalah 3.48 peratus.Walaupun peningkatan dalam keperluan hanya dua peratus bagi satu tahun, kapasiti bekalan kini hanya boleh bertahan sehingga 2014.
Tambah Piarapakaran, keperluan terhadap air yang dirawat bagi pelanggan dan sektor domestik, industri, komersial serta institusi semakin meningkat setiap tahun dan ia satu situasi yang memerlukan perhatian segera di Selangor.

DALAM situasi semasa, paras air yang menyusut di Empangan Sungai Tinggi di Kuala Selangor (ketika krisis air lalu dikhuatiri berlaku kembali. Tetapi kapasiti rawatan di loji rawatan air adalah terhad. Maknanya, jika tiada bekalan air mentah, maka tiadalah kerja rawatan yang dapat dijalankan.
“Kapasiti rawatan air semasa adalah 4,326 MLD. Dengan kerja pembaikan dan kemudahan di loji rawatan lapangan terbang antarabangsa, kapasiti ini boleh ditingkatkan kepada 4,431 MLD pada tahun 2012. Tetapi ini mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi bekalan yang semakin meningkat pada tahun 2014,” jelas beliau.

Piarapakaran juga menyatakan isu di Lembah Klang bukan hanya pada kenaikan penggunaan air tetapi juga pada pertambahan populasi. Katanya, kajian EPU tidak termasuk kehadiran pekerja asing sebagai kriteria di dalam unjuran populasi sedangkan mereka juga pengguna air.

“Kajian EPU yang tidak menyentuh pertambahan penduduk bukan warganegara juga merupakan satu lagi isu,” katanya.  Di samping itu, Air Bukan Hasil (NRW) dalam kiraan EPU adalah rendah dan perkiraan itu menganggarkan NRW menyusut dari tahun 2010.

Menurut Piaparakaran yang meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengeluarkan statistik mengenai perkara itu, memberitahu bahawa penstrukturan semula industri air di Selangor menunjukkan NRW tidak akan berkurangan berdasarkan apa yang dirancang. Dalam memberi alasan kenapa negeri itu tidak mahu terburu-buru melaksanakan projek berkenaan, kerajaan Selangor menyatakan langkah sedemikian hanya akan meningkatkan kos projek yang kini sudah bertambah daripada RM2 bilion kepada RM8 bilion.

“Saya bukan pakar ekonomi,” kata Piarapakaran. “Tetapi bila bercakap dalam situasi normal pun, melengahkan projek akan mengakibatkan kenaikan kos kerana kos bahan dan juga pembinaan meningkat dengan masa.”

Bagi menangkis tuduhan yang tidak tepat, pelaksanaan projek itu perlulah telus dan kaedah perolehan yang betul perlu digunakan.
“Ini bermakna kita perlu banyak ketelusan dalam tuntutan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak. Jika tidak diperiksa butiran, kebenaran mungkin tidak diketahui. Kalau bekalan air sememangnya tidak mencukupi, maka pihak mana yang perlu menjalankan langkah selanjutnya bagi menangani masalah ini?”


Puncanya manusia

Ujar Piapakaran, WECAM telah berulang kali memberi peringatan bahawa krisis air di Malaysia bukanlah disebabkan cuaca. Ia adalah disebabkan manusia, kerana kegagalan dalam merancang.

WECAM menggesa supaya dalam mereka bentuk loji rawatan air, takungan simpanan perlu dimasukkan di dalam perancangan. Ini sebagai persediaan bila keadaan terdesak dan kritikal seperti pada musim kemarau kerana ketika itu bekalan air mentah memang kurang.

“Tidak boleh ada defisit dalam kapasiti. Kita sepatutnya mempunyai bekalan simpanan jika mahu mengharungi krisis air,” kata beliau.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan sebagai berkata bahawa pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak boleh dilengahkan lagi.

Beliau berkata pada masa ini bekalan air di Selangor masih tidak stabil dan boleh berkurangan sekiranya berlaku pencemaran sungai atau ketiadaan hujan yang berterusan.


“Kita tidak boleh menunggu sehingga tahun 2014 untuk bertindak kerana Syabas telah menghantar laporan kajian dan penyelidikan kepada kerajaan Selangor dan Persekutuan setiap tahun tentang perkara ini,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua baru-baru ini.


Rozali turut mencadangkan pembaikan dalam bekalan air di Selangor untuk mengelak kemungkinan krisis air berulang.

“Dalam isu air ini, yang paling penting ialah kita ketepikan isu politik atau kepentingan peribadi kerana paling diutamakan ialah untuk masalah diselesaikan segera dan kami berharap kerajaan Selangor akan menimbangkan untuk menyelesaikan isu air secepat mungkin,” katanya.

Kerja di bawah projek pemindahan air itu bermula pada April. Sebaik siap pada tahun 2014, projek itu akan menyalurkan 1,890 juta liter air mentah sehari dari Sungai Semantan di Pahang ke Loji Rawatan di Hulu Langat, Selangor.

Air mentah akan disalurkan melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer yang mempunyai garis pusat 5.2 meter dengan menggunakan arus graviti ke loji rawatan itu.

Terowong itu, dikorek merentasi Banjaran Titiwangsa, akan menjadi terowong saluran air yang paling panjang dan terbesar di Asia Tenggara dan keenam terbesar di dunia.

Penyaluran air ke Selangor pada 10 sen setiap satu meter padu dijangka akan mendatangkan pendapatan sebanyak RM70 juta setahun bagi kerajaan negeri Pahang.

Kadar ini akan dikaji semula setiap lima tahun oleh kedua-dua negeri

Friday, July 16, 2010

Teknologi Membran Rawat Air Tercemar

Utusan Malaysia - 2007
Oleh LAUPA JUNUS
TERDAPAT tiga ayat dalam surah Ar-Rahman (Ayat 19-21) yang mafhumnya:
“Dia adakan dua jenis laut (masin dan tawar), yang bertemu keduanya, tetapi di antara keduanya ada dinding sehingga tiada bercampur keduanya. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?”
Manakala terdapat satu ayat dalam surah Al-Furqan ayat 53 yang mafhumnya:
Dia (Allah) yang mempertemukan dua macam laut, yang semacam ini sangat tawar airnya dan yang semacam lagi masin airnya, dan Dia adakan dinding dan larangan yang terlarang antara keduanya”
Surah itu, menurut penyelidik di Ketua Unit Penyelidikan Membran (MRU), Fakulti Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menerangkan apakah sebenarnya konsep membran.
``Wujudnya dinding atau sempadan itulah yang dikenali sebagai membran pada masa ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika di kampus UTM, baru-baru ini.
Menurutnya, teknologi membran didefinisikan sebagai selaput nipis yang boleh mempunyai sifat memilih.
Prestasi membran pula dicirikan oleh dua parameter utama iaitu:
- Kebolehtelapan-yang akan menentukan kadar produktiviti membran
- Keupayaan memilih-menentukan ketulenan produk.
Membran dihasilkan daripada bahan polimer serta bahan bukan organik seperti lumina (sejenis alumunimum oksida), silika atau seramik, kaca dan besi.
Komponen penting pada membran ini ialah liang-liang yang terdapat padanya yang sangat halus bersaiz 0.0001 mikron.
Pada tahap saiz sehalus ini, hanya beberapa kategori zarah-zarah yang mampu melepasinya dan inilah sifat penting membran yang dimanfaatkan dalam industri.
Teknologi membran mula digunakan secara komersial di Jerman pada 1920-an secara kecil-kecilan untuk kerja-kerja pemisahan bakteria.
Pada 1960-an pula, teknologi membran mengalami evolusi dalam kerja-kerja penyahgaraman, manakala pada 1980-an digunakan dalam pemisahan gas berasid seperti karbon dioksida (CO2) dan gas metana (CH4), kedua-duanya merupakan gas rumah hijau.
Penemuan dan pembangunan teknologi ini telah mendapat pengiktirafan dan mula digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.
MRU telah membangun mesin yang mampu mengeluarkan membran yang boleh digunakan dalam proses rawatan air dan air sisa, pemisahan gas berasid, pemisahan bahan bioaktif, pemekatan bahan herba, penyahgaraman air, penghasilan bahan termaju seperti gentian karbon dan penghasilam membran untuk sel bahan api.
Membran dihasilkan melalui proses yang dinamakan sebagai proses fasa balikan. Dalam proses ini larutan polimer tuang menggunakan sistem tuangan atau disemperit (extrusion) menggunakan sistem pemintal (spinning sistem).
Seterusnya, membran tersebut melalui sela udara (air gap) sebelum melalui proses perendaman di mana struktur membran terbentuk sepenuhnya.
Salah satu jenis proses membran tersebut berupaya merawat air dalam proses osmosis balikan (RO).
Osmosis merujuk kepada proses pengaliran air atau cecair melalui selaput separa telap dari larutan berkepekatan rendah ke larutan berkepekatan tinggi manakala osmosis balikan (RO) ialah proses bertentangan dengan osmosis.
Dalam proses ini membran berfungsi sebagai penapis atau penuras pada tahap molekul.
Menurut Ahmad Fauzi, selain penggunaan membran yang memisahkan garam daripada air laut untuk diminum, terdapat dua lagi proses yang biasa digunakan untuk menghasilkan air minum daripada air laut iaitu proses penyulingan kilat dan proses pemeruapan.
Bagaimanapun, teknologi membran merupakan proses yang ekonomik dan kompetitif untuk menghasilkan air minum daripada air laut.
``Malah kerajaan berminat untuk membangunkan teknologi ini (membran) ini untuk untuk menyediakan air minum di Pulau Perhentian, Terengganu.''
``Ini kerana ia merupakan teknologi padat dan boleh ditingkatkan kapasitinya dengan mudah dan menjimatkan tenaga,'' kata Ahmad Fauzi.
Dalam proses ini, teknologi membran berupaya membuang bakteria dan virus daripada air.
Justeru dengan keupayaan teknologi membran memisahkan virus dan bakteria daripada air, bermakna ia merupakan kaedah yang amat sesuai untuk rawatan air termasuk air yang telah digunakan.
Meskipun Malaysia, dianugerahkan dengan sumber alam semula jadi iaitu air dalam jumlah yang banyak, ia bukan penghalang kepada teknologi membran diperkenalkan dalam kitar semula air yang telah digunakan.
``Kita menerima banyak air tetapi mengapa tidak gunakan untuk kitar semula air yang telah digunakan untuk memproses ribuan gelen air yang dibuang oleh industri atau domestik?,'' soal beliau.
Teknologi membran, kata Ahmad Fauzi sepatutnya menjadi pilihan terbaik dalam proses merawat air yang tercemar serta merupakan teknologi yang amat kompetitif untuk membekalkan air kepada kawasan yang terpencil dan pulau-pulau yang menghadapi masalah bekalan air minum.
Dalam nada yang penuh yakin, Ahmad Fauzi berkata, teknologi membran merupakan jawapan terbaik kepada masalah pencemaran air dan pembekalan air kekawasan terpencil pada masa ini.
Menurutnya, ada yang berpendapat dalam proses rawatan air, klorin merupakan satu penyelesaian terbaik tetapi bahan kimia tersebut menghasilkan sisa yang boleh bertindak balas dengan bahan tercemar dalam air seperti bahan bukan organik yang menghasilkan bahan THM (Trihalomethane)- sejenis bahan kimia penyebab kanser.
``Klorin bertindak balas dengan bahan ini, dan apabila kita menggunakan air tersebut dalam jangka panjang ia mendatangkan kesan berbahaya,'' katanya.
Satu lagi kegunaan teknologi membran yang popular dalam penghasilan air tulen ialah air ultraturasan yang biasa digunakan untuk industri elektronik.
Selain itu, teknologi ini juga telah dikenal pasti sebagai sangat ekonomik dalam industri gas dan petroleum untuk proses pemisahan gas CO2.
Malah, sebuah syarikat minyak terkemuka di Malaysia menggunakan teknologi tersebut untuk membangunkan teknologi lepas pantai kerana ia padat menjimatkan tenaga dan kos operasi yang murah sehingga 50 peratus.
Selain dalam industri, teknologi membran juga digunakan dalam bidang-bidang lain seperti perubatan iaitu ciptaan buah pinggang palsu (haemodialisis), bioteknologi, petrokimia, farmaseutikal, bidang tenaga, bahan termaju, industri asas tani serta dalam bidang nanoteknologi.

Kemana Hilangnya Air?

Sempena Hari Air Sedunia (22 Mac)

BAYANGKAN suatu hari nanti, anda terpaksa menggunakan air osmosis balikan (RO) untuk keperluan harian. RO berharga kira-kira 50 sen seliter dan kalau anda menggunakan 1,000 liter sebulan, bilanda boleh mencecah RM500.
Sanggupkah anda membayar sebegitu mahal untuk air yang digunakan bagi tujuan memasak, mandi atau membasuh baju?
Mungkin sukar membayangkan senario ekstrem sebegitu. Apa tidaknya, kita kini secara purata hanya membayar 70 sen bagi satu meter padu atau 1,000 liter air.
Sumber air bersih dan dirawat dirasakan seperti tidak akan kehabisan.
Tapi hakikatnya, Malaysia semakin kekurangan sumber air bersih.
Masalah ini bukan saja membelenggu Malaysia, malah seluruh dunia. Ingat, hanya dua peratus daripada sumber air seluruh dunia boleh digunakan manusia.
Selebihnya ialah air laut. Dan jika kita gagal menjaga dan melindungi sumber bekalan air yang dua peratus itu, kita mungkin terpaksa menggunakan proses “desalinasi” untuk bekalan air harian kita.
Desalinasi ialah proses yang membuatkan air laut dapat diminum oleh manusia, seperti osmosis balikan. Namun begitu, prosesnya menelan kos yang begitu tinggi dan tentunya orang ramai akan terbeban membayar air yang dihasilkannya.


TADAHAN AIR KIAN DIMUSNAHKAN


Mengapa begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih?
“Di Malaysia, sebab utama ialah pencemaran dan tadbir urus yang lemah di kawasan tadahan air,” kata S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia.
“Dan antara petanda pertama perkara ini sedang berlaku ialah tarif air yang semakin meningkat.”
Kata beliau, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Namun, apa yang sedang berlaku ialah kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan itu demi keuntungan jangka pendek.
Dan hasilnya? Pencemaran di kawasan tadahan air, kos rawatan air yang tinggi dan jika tahap pencemarannya sangat kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup.
Beliau memberi contoh projek terbaru di sebuah negeri yang merupakan satu projek ladang getah seluas 443 hektar. Projek ini membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air.
“Apa yang sedang berlaku di situ ialah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam, dengan ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah atau pun disorong ke dalam sungai apabila hujan.
"Kalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi ammonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran ammonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta,”katanya.
Katanya inilah yang berlaku di Sungai Nilai dan Sungai Langat.
Piarapakaran mengingatkan bahawa racun yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak turut boleh membunuh manusia. KUALITI TURUN, HARGA NAIK
Dalam kes lain di Cheras pula, sebuah loji rawatan terpaksa ditutup kerana pencemaran ammonia daripada sisa kumbahan.
“Bayangkan, tiada tangki septik di situ untuk menapis kumbahan, jadi kesemuanya terus masuk ke dalam sungai. Bukannya tidak boleh dirawat, tapi bila kualiti air begitu teruk, kos merawatnya pasti tinggi,” katanya.
Dan bila kualiti air menurun, katanya, tarif pasti akan naik.
“Ini yang kita tidak mahu. Kami sebagai persatuan pengguna pun tidak dapat terus memperjuang tarif yang rendah jika orang ramai tidak sedar kepentingan melindungi hutan kita.”
Menyentuh kembali isu pewartaan kawasan tadahan air, Piarapakaran menceritakan pula tentang kes kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah.
Kawasan itu diwartakan ketika jajahan British di Malaya. Namun, pembalakan berleluasa masih berlaku di situ sepanjang tahun 60-an hingga 90-an.
Pada 2003, kabinet mengarahkan pembalakan di situ dihentikan dan hutan hujan itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air. Namun kerajaan negeri masih nekad untuk melakukan “pembalakan terancang” dengan alasan “memerlukan sumber pendapatan negeri yang lumayan.”
Pembalakan terancang itu dilaporkan memberi pulangan RM16 bilion bagi penebangan tiga atau empat pokok bagi setiap hektar. Namun yang menerima padahnya ialah ekosistem hutan hujan Ulu Muda.
“Ini akan mengganggu kualiti air di situ dan yang pastinya, harga rawatan air akan meningkat. “Ini bukan sahaja masalah bagi Kedah, tetapi juga bagi Pulau Pinang yang bergantung kepada Kedah untuk 40 peratus daripada bekalan airnya,” kata Piarapakaran.
Beliau berkata tidak banyak kawasan tadahan air di Pulau Pinang. Oleh itu, kegagalan Kedah untuk melindungi hutan juga bermaksud kehilangan sumber air bagi Pulau Pinang.


HUTAN KITA, SUMBER AIR KITA


Malaysia masih banyak sumber air kerana hutannya.
“Hutanlah kawasan tadahan air kita. Tetapi kalau pihak berkuasa sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya ingin membuat “pembalakan terancang”, kita akan menghadapi masalah yang besar,” kata Piarapakaran.
Katanya di Perak, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa dimusnahkan.
Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari pantai timur ke pantai barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang “menadah” air hujan itu dan melepaskannyaperlahan-lahan ke seluruh Semenanjung.
Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan atau pun kemarau.
"Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita," kata Piarapakaran.
Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti halnya di Perak. Dahulu, jarang sekali didengar banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama.
Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000mm setahun. Namun, ia tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir.
Ini semua gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit itu, kata Piarapakaran.
Beliau menerangkan kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir.
Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja. Katanya perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebuah sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya.
Katanya negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan. “Lihat sahaja Melaka, yang pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat berapa hutannya yang tinggal. Hampir tiada, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan.”
Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri itu.


JANGAN SALAHKAN PERUBAHAN IKLIM


Memang selalu didengar pihak yang mengatakan perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain.
“Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah ‘mendera’ sistem itu,” kata Piarapakaran.
Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit – jika hutan dikacau, impaknya pada bekalan air.
Katanya dua perkara boleh berlaku di Malaysia kerana perubahan iklim.
"Kita mungkin akan mengalami lebih banyak hujan, ataupun tiada langsung.
“Bila kadar hujan diganggu, kelangsungan hidup sesebuah negara beriklim tropika juga diganggu. Ini kerana hujan tidak menyokong penyerapan air tanah. Di negara sistem glasier (negara empat musim), kadar aliran masuk tinggi kerana salji cair dengan perlahan.
“Di sini pula, hutan menadah kebanyakan air hujan yang turun, dan melepaskan sedikit demi sedikit. Sebab itulah jika hujan di KL, paras air di Sungai Klang meningkat. Sebaliknya jika hujan di sana, paras air di sini sangat rendah,” katanya.
Oleh kerana itu, sungai itu biasanya hanya akan melimpah selepas dua jam kerana pelambatan itu, yang merupakan satu proses semula jadi. Namun dengan pemusnahan hutan, tempoh pelambatan itu akan dikurangkan.
Dan akibatnya ialah apa yang sering dialami kini -- kekurangan bekalan air, tarif yang kian meningkat dan kualiti yang tidak memuaskan sehingga pengguna terpaksa memasang penapis air sendiri.
Inikah yang akan terus berlaku kepada rakyat Malaysia? Anda tentukan. - BERNAMA

Sunday, June 20, 2010

NRW

DEFINISI
Air Tidak Terakaun (Non-Revenue Water) merupakan air yang telah dikeluarkan kepada kawasan pengguna, tetapi tidak memberi pulangan hasil kepada syarikat. Air Tidak Terakaun terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu air yang dikeluarkan bagi tujuan disengajakan, DAN kategori kedua ialah air yang hilang secara tidak dapat dikawal, atau tidak disengajakan.
Air Tidak Terakaun (NRW) juga dipanggil sebagai Air Tidak Terhasil (Unaccounted for Water).


PUNCA-PUNCA KEHILANGAN AIR

Komponen air yang tidak terakaun dalam kategori pertama terdiri dari punca-punca yang berikut :
Kegunaan air bagi mencuci laluan paip
Kegunaan air bagi tujuan melawan kebakaran
Kegunaan air bagi mencuci penapis
Ujian-ujian sistem, dan lain-lain seumpamanya.

Manakala air yang tidak terakaun dalam kategori kedua adalah terdiri dari punca-punca yang berikut :

Limpahan tangki
Saluran paip bocor dan pecah
Daftar meter yang rendah (MUR)
Kecurian
Lain-lain punca yang seumpamanya.

Syarikat harus menggariskan polisi-polisi pengawalan kehilangan air yang berpunca daripada kategori yang kedua ini. Manakala langkah-langkah tertentu harus diambil bagi mengurangkan penggunaan air dalam bentuk kategori pertama.



CARA-CARA MENGATASI

Banyak panduan-panduan teknikal disediakan untuk diikuti bagi mengatasi kehilangan air. Bagaimana pun pilihan yang bijak harus dibuat untuk dipraktikkan dalam mengatasi masalah kehilangan air ini. Pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada faktor-faktor yang berikut :
Perbelanjaannya berbanding penjimatan yang dapat dibuat
Tahap kehilangan air di kawasan berkenaan
Peralatan dan kepakaran yang ada
Tempoh masa yang dibenarkan

Daripada kajian perbandingan penjimatan kos dan perbelanjaan yang harus dikeluarkan bagi mengawal kehilangan air ini, satu polisi harus dipilih. Polisi-polisi ini mungkin berbeza di antara satu kawasan dengan satu kawasan perbekalan air disebabkan penilaian yang dibuat mengikut faktor-faktor di atas.

Di antara polisi yang dijadikan pilihan ialah :

Kawalan secara pasif
Kawalan secara aktif sounding
Kawalan melalui memeterkan kawa

Sumber : SATU ( Syarikat Air Terengganu )

Kegagalan merancang punca krisis air

Iklim yang panas sekarrang telah menyebabkan beberapa empangan hampir berada di tahap kritikal. Walaupun, perubahan iklim akan sentiasa mengubah corak taburan hujan, kita perlu bersedia.

Beberapa tahun yang lalu, kami telah menasihati syarikat air untuk melaksanakan pelan kecemasan mereka. Ini adalah bagi memastikan pengguna memberikan respon yang sewajarnya disamping membantu syarikat air mengkoordinasi jika situasi sebenar berlaku. Sehingga kini, kita masih melihat tindakan pada waktu kecemasan sahaja.

Jika kita ingin memerangi kekurangan air, apakah yang patut kita lakukan?


(i) Lindungi semua kawasan tadahan air dan kawasan yang berpotensi. Jika kita merancang melepaskan bahan toksik kepada sungai, kita tidak boleh mengubahnya walaupun semasa kecemasan. Ini bermaksud, perancangan jangka masa panjang adalah penting. Perancangan ekonomi dan guna-tanah menjadi lebih penting, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui kerajaan tempatan.

(ii) Latihan catuan air perlu dilakukan secara berperingkat kepada semua lapisan pengguna. Ini akan membantu menyepadukan penyaluran maklumat, halangan komunikasi dan kesediaan pengguna. Semasa krisis, tindakan catuan secara tiba-tiba akan menyebabkan huru-hara dan ketidaksenangan. Berdasarkan kajian kami, pengguna di Melaka akan melalui trauma apabila bekalan air mula menitik. Ini adalah berikutan masalah kemarau teruk di Melaka beberapa tahun dahulu.. kejadian sebegini mesti dielakkan.

(iii) Saluran air terawat di antara jaringan paip yang berlainan. Jaringan paip yang tidak disepadukan bukanlah penyelesaian yang baik. Ini juga berkait rapat dengan perancangan loji perawatan air. Loji-loji ini tidak sepatutnya perfungsi pada kapasisti maksima, kerana kapasiti tambahan ini sepatutnya dijadikan sebagai simpanan untuk menampung perubahan mendadak semasa krisis.

(iv) Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW) secara puratanya adalah 37 peratus bagi tahun 2008. Tambahan pula, berlaku pertambahan penggunaan air bagi sektor bukan domestik sebanyak 6 peratus di antara 2007 dan 2008. Walaupun, penggunaan air domestik masih tinggi, permintaan meningkat daripad sektor industri terpaksa ditampung. Pengurangan NRW patut dijadikan Penunjuk Prestasi Utama bagi syarikat air dan dan penguatkuasa.

(v) Pengurangan pembaziran air terawat juga merupakan komponen utama. Peralatan penjimatan air seperti pili tekanan rendah dan tangki simbah dua aliran (dual flush) adalah di antara penyelesaian yang boleh diguna pakai. Tambahan pula, penggunaan semula air kelabu (grey water – air sisa selepas mencuci sayuran atau pakaian) boleh mengurangkan penggunaan air terawat untuk menyimbah tandas atau proses pembersihan asas yang lain.

(vi) Pihak industri perlu memainkan peranan yang penting dalam menggunakan teknologi hijau untuk menggunakan semula dan kitar semula air. Ini akan membantu industri mengurangkan bil air serta meningkatkan pencapaian mereka supaya lebih mesra alam. Pihak inidustri dapat melakukan demikian melalui geran-geran teknologi hijau yang disediakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

(vii) Penggunaan air empangan hidroelektrik sebagai satu sumber air bagi untuk tujuan pengairan dan perawatan air minuman. Sebenarnya, air pada dasar empangan tidak sesuai untuk perawatan. Apabila empangan mula dibanjiri air, kualiti air pada dasar empangan akan menjadi teruk disebabkan kandungan nutrien yang tinggi. Proses pengudaraan (aeration) merupakan satukaedah yang baik untuk meningkatkan kualiti air. Proses ini membantu mengawal kos perawatan.


Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) berpendapat krisis air kini adalah disebabkan kegagalan untuk merancang.

Kejadian sebegini boleh dikurangkan atau di kawal jika tindakan-tindakan yang dinyatakan di atas dapat dilaksanakan.

Malaysia kini melangkah menjadi negara maju, adalah penting untuk memastikan perkhidmatan air diberikan pada tahap yang memuaskan supaya kehidupan harian kita berterusan.



Penulis (Piarapakaran Subramaniam)adalah Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

Monday, April 19, 2010

Strategi Bersepadu Atasi Pencemaran Air

Strategi Bersepadu Atasi Pencemaran Air

AIR adalah komponen penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Air sumber penting untuk minuman, sistem kebersihan, pertanian, industri, pembangunan bandar, kuasa hidro, perikanan, pengangkutan, pengurusan tanah rata atau rendah dan kegiatan lain. Pengurusan air secara tidak cekap boleh menyebabkan wujudnya krisis air.

Air mewakili 70 peratus daripada isi bumi dan tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah antara bahan semula jadi paling penting di dunia. Air mengandungi hidrogen dan oksigen dan ia amat penting dalam isi planet ini untuk membesar dan tumbuh.

Walaupun mengetahui kepentingan air dalam kehidupan, manusia bagaimanapun nampaknya begitu mudah mengabaikannya dengan mencemarkannya dan mengotorkan longkang, sungai, tasik dan laut.

Pengarah Urusan Segi Perkasa Sdn Bhd, Hisham Jabar, dalam kertas kerja bertajuk Meminimumkan Pencemaran Alam Sekitar Melalui Pengurusan Industri Kumbahan Air Secara Efektif, berkata secara perlahan-lahan manusia sebenarnya mengancam planet sehingga ke tahap organisma mula mati pada kadar yang amat pantas.

Selain ancaman terhadap organisma yang mulai mati, air minuman yang paling penting untuk menjalani kehidupan sihat juga kadangkala dicemari dengan serius. Sehubungan itu, untuk mengatasi pencemaran air, kita harus memahami masalah dan sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian.

Pencemaran mengikut definisi bermaksud: "Untuk merosakkan atau tidak bersih atau kotor." Pencemaran air berlaku apabila sumber air dicemari berikutan sejumlah besar bahan tertentu bercampur dalam air. Apabila air dirasakan tidak sesuai untuk digunakan manusia, maka ia akan didefinisikan sebagai pencemaran air.

Ada dua jenis pencemaran air yang biasa kita dengar; sumber terus atau sumber yang tidak terus. Pencemaran dari sumber terus bermaksud apabila bahan yang bahaya dipancarkan kepada sumber air, contohnya limpahan minyak ke dalam laut. Contoh lain pencemaran sumber terus ialah sisa buangan dari kilang, pengaliran bahan cairan dari kilang, kilang rawatan bahan buangan dan banyak lagi yang terdedah kepada mencemarkan sumber air utama.

Pencemaran dari sumber yang tidak terus pula menyumbangkan pencemaran dari perubahan alam sekitar. Sebagai contoh ialah racun serangga di ladang yang kemudian mengalir ke tempat lain menerusi hujan yang kemudian memberi kesan kepada kehidupan akuatik. Contoh lain pula ialah pencemaran yang memasuki bekalan air menerusi tanah atau bumi dan daripada atmosfera air hujan. Tanah dan air dari bumi mengandungi sisa keladak daripada kerja pertanian manusia (contohnya racun serangga di ladang) yang dimusnahkan dengan tidak betul. Pencemaran atmosfera juga berpunca daripada manusia seperti penggunaan kenderaan (asap ekzos, kilang dan juga proses membuat roti).

Pengaliran keluar kumbahan air menerusi sektor perindustrian sama ada berskala besar, sederhana atau kecil adalah antara punca serta penyumbang kepada pencemaran alam sekitar jika tiada perancangan, langkah pencegahan dan rawatan secara efektif. Kumbahan air mengandungi bahan keluli, bakteria, organik dan bahan bukan organik boleh merosakkan alam sekitar serta akan meningkatkan ancaman kepada alam sekitar dan sekali gus mencemarkan air.

Air kumbahan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis sama ada ia mengandungi bahan keluli, organik, bahan bukan organik, serangan bakteria dan pencemaran jenis lain. Sehubungan itu, dengan memahami bentuk sesetengah air lebihan, kita boleh merawat air lebihan berkenaan secara efektif untuk memastikan ia mencapai tahap kebersihan yang sesuai dengan taraf alam sekitar.

Bagaimanapun, ada teknologi untuk mengawasi pencemaran dari sumber terus walaupun faktor politik mungkin menyukarkan keadaan. Pencemaran dari sumber tidak terus bagaimanapun sukar dikawal. Pencemaran yang berpunca daripada sumber tidak terus adalah faktor majoriti atau utama kepada pencemaran yang berlaku di tasik dan sungai.

Pencemaran air kumbahan sudah menjadi krisis utama dunia. Bekalan air berkualiti yang tidak menentu untuk bahan minuman, pertanian, perladangan, industri dan lain-lain sejak bertahun-tahun lalu turut menimbulkan masalah. Dengan bekalan air yang tidak mencukupi, cara rawatan dan kitar semula adalah perkara utama yang harus dicapai untuk mengekalkan sumber bekalan air yang amat terhad. Secara geografi, pencemaran air lebihan di Malaysia secara amnya tidak kritikal dan hanya memberikan kesan minimum kepada alam sekitar, masyarakat dan pertanian.

Bagaimanapun, ada beberapa laporan mengenai krisis pencemaran air, penyakit berbahaya dan beberapa isu lain yang penting untuk memastikan rawatan air lebihan itu menjadi lebih efektif.


JENIS PENCEMARAN AIR:

Bahan Toksik – sejenis pencemaran berbentuk kimia yang tidak terhasil dalam sistem akuatik. Penyumbang terbesar kepada pencemaran kimia ialah racun rumpai, racun serangga dan bahan buangan industri.

Bahan Organik – pencemaran organik berlaku apabila lebihan bahan organik seperti baja dan kumbahan memasuki air. Apabila bahan organik ini meningkat di dalam tangki air, jumlah bahan hancur akan meningkat. Bahan hancur atau bahan reput ini akan tumbuh pantas dan menggunakan banyak oksigen apabila ia membesar. Ini mengakibatkan pengurangan oksigen apabila proses kehancuran berlaku. Kekurangan oksigen akan membunuh organisma akuatik. Apabila organisma akuatik itu mati, ia akan sama musnah dengan bahan hancur berkenaan, sekali gus meningkatkan pengurangan oksigen berkenaan.

Sejenis pencemaran organik boleh berlaku apabila pencemaran bahan bukan organik seperti nitrogen dan fosfat meningkat dalam sistem akuatik. Kadar tinggi bahan berkenaan menyebabkan peningkatan keterlaluan tumbuhan dan rumpair. Apabila tumbuhan dan rumpair itu mati, ia menjadi bahan organik di dalam air. Bahan tumbuhan berkenaan akan reput dengan pantas, sekali gus mengurangkan kadar oksigen. Proses pantas pertumbuhan tumbuhan itu kemudian diikuti dengan peningkatan aktiviti oleh bahan hancur berkenaan dan dengan kekurangan kadar oksigen yang dikenali sebagai eutrophication.

Pencemaran Terma – pencemaran jenis itu boleh berlaku apabila air digunakan sebagai bahan penyejuk berdekatan kilang industri dan kemudian kembali kepada persekitaran akuatik dengan kadar suhu yang lebih tinggi, sebagai ia sepatutnya. Pencemaran terma boleh menyebabkan berlakunya pengurangan kadar oksigen di dalam air dan meningkatkan kadar keperluan biologikal oleh organisma akuatik untuk oksigen.

Pencemaran Ekologikal – ini berlaku apabila pencemaran bahan kimia, pencemaran organik atau pencemaran terma berlaku daripada persekitaran alam, bukannya aktiviti kemanusiaan. Sebagai contoh, pencemaran ekologikal akan meningkat daripada bahan aliran selepas berlakunya tanah runtuh, yang juga akan meningkatkan jumlah kotoran dalam air. Contoh lain ialah apabila haiwan seperti rusa mati lemas dalam banjir dan kemudian sejumlah besar bahan organik yang mengalir ke dalam air. Kejadian geologikal seperti ledakan gunung berapi juga boleh menjadi sumber kepada pencemaran ekologikal.


KESAN PENCEMARAN AIR

Implikasi Kesihatan – semua jenis pencemaran air mempunyai kesan dan berbahaya kepada manusia serta spesies lain jika ia terlalu serius. Contohnya, sodium boleh menjadi implikasi kepada masalah jantung, nitrat pula mampu menyebabkan masalah darah. Merkuri dan plumbum boleh mengakibatkan masalah saraf. Sesetengah bahan pencemaran boleh menyebabkan barah. DDT (racun serangga) adalah toksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom. Polychlorinated biphenyls (PCB) boleh merosakkan hati dan sistem saraf, gangguan kulit, muntah-muntah, demam panas, cirit-birit dan keadaan tidak normal yang bahaya.

Disenteri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis adalah antara penyakit yang berjangkit menerusi keracunan air minuman dan air untuk mandi. Sesetengah pantai, sungai dan tasik tidak sesuai untuk orang ramai bersantai kerana bahan buangan kilang yang mencemari kawasan itu.

Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga di mana jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.


KESAN KEPADA HIDUPAN AKUATIK

Alam sekitar rosak dengan teruk terutama di tempat yang mengalami pencemaran air. Pencemaran air memberi kesan kepada sistem eko laut, sungai, muara, tasik dan air dari tanah.

Bagaimanapun, pencemaran air bukan hanya memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut memberikan kesan kepada spesies yang menggunakan alam sebagai habitat. Hidupan liar akuatik adalah antara mangsa pencemaran air. Sejenis pencemaran yang memberikan kesan kepada air ialah bentuk fizikal, seperti peningkatan suhu. Oleh kerana air dialirkan daripada kilang industri, hampir 15 sehingga 25 miligram air yang dipanaskan dialirkan ke dalam sistem penyejuk air.

Apabila air panas itu dialirkan keluar ke sungai, suhu air sungai itu akan meningkat. Hasilnya, ia akan mengganggu perhubungan ekologikal di antara sistem air dan hidupan akuatik. Malah, peningkatan suhu walau sedikit adalah bahaya kepada pelbagai ikan dan hidupan akuatik lain.


KESAN KEPADA TUMBUHAN BIOMASS

Pencemaran air turut memberi kesan kepada tumbuhan. Dengan peningkatan pencemaran kimia seperti nitrat dan fosfat, ia boleh menyebabkan kerosakan rumpair dalam sistem air, sekali gus mengubah habitat tumbuhan akuatik.


KESAN KEPADA TANAH BASAH

Tanah basah menyediakan habitat kepada banyak organisma hidup dan spesies tumbuhan. Apabila fosforus daripada pencemaran bahan kimia ditambah dalam sistem air, lebih banyak rumpair tumbuh. Kebanyakan daripada fosforus yang ditambah ke dalam sistem air dihasilkan daripada kilang industri yang berhampiran. Dengan peningkatan fosforus, ia menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang.

Pencemaran air berkaitan dengan jatuhnya kualiti air yang diukur daripada kriteria biologikal, kimia dan fizikal.

Berikut adalah senarai untuk menjelaskan antara kesan utama daripada pencemaran air:

l Campuran terlalu banyak bahan organik dalam air akan menyebabkan ia tercemar dan kekurangan oksigen. Kadar oksigen yang rendah akan membunuh ikan, tumbuhan dan organisma lain.

l Pencemaran biologi termasuk kehadiran bakteria dan pelbagai jenis penyakit lain yang mengandungi mikro organisma.

l Nutrien (zat – seperti nitrogen dan fosforus) hasil daripada aktiviti manusia boleh menyebabkan pencemaran air minuman. Nitrogen dan fosforus daripada ladang haiwan dan racun untuk bidang pertanian menyebabkan pencemaran serius di dalam sungai, tasik dan laut.

l Minyak yang dibuang ke dalam air, seperti ke laut menyebabkan pencemaran air yang serius.

l Bahan keluli yang berat seperti raksa, zink dan kadmium juga amat bahaya kepada alam sekitar.

l Pencemaran terma yang berlaku apabila proses pemanasan dibuat di dalam kilang yang memberikan kesan kepada air.

l Bahan radio aktif dalam air juga menyebabkan pencemaran air yang serius.

l Keladak adalah antara pencemaran air yang paling utama.


RAWATAN AIR KUMBAHAN

Rawatan air kumbahan adalah proses bahan pejal diasingkan dan kemudian ditukar daripada bahan pepejal kepada bahan mineral. Cara biasa untuk merawat air biasanya dibahagikan kepada tiga peringkat; Rawatan Primary, Rawatan Secondary dan Rawatan Tertiary. Tiga cara untuk mengawal air kumbahan industri ialah dengan mengawal selia puncanya di sesebuah kilang berkenaan, air kumbahan sebelum dirawat untuk dibuang dengan menggunakan cara rawatan berbeza atau air kumbahan boleh dirawat secara penuh di kilang sama ada ia kemudian diguna semula atau dibuang terus.

Tujuan rawatan biasa untuk air kumbahan ialah bagi mengurangkan bahaya dan selamat digunakan oleh manusia, selain menghilangkan terus, mengurang atau minimum kesan air kumbahan supaya ia boleh digunakan sebagai air berkualiti kepada alam sekitar.

Dalam menangani isu pencemaran air, pelbagai pihak perlu menyedari bahawa tanggungjawab masing-masing termasuk kerajaan, pengusaha kilang, industri dan masyarakat bekerjasama untuk meminimumkan pencemaran alam sekitar. Pendekatan secara bersepadu dengan memahami, membina dan menguruskan strategi pengawalan pencemaran adalah amat penting untuk memastikan kejayaannya.
Sumber Dari : Berita Harian Online

Wednesday, January 13, 2010

Selamat Berkuliah!

Bagi sesi Jan. 2010 ini, saya akan memulakan kursus C5305 dengan Topik 2 iaitu Rawatan Air. Kelas akan bermula minggu depan iaitu pada hari Khamis, jam 2.15 - 4.15 petang setiap minggu kuliah. Harap semua pelajar akan dapat memberi tumpuan - cabaran utama petang Khamis .