Friday, July 16, 2010

Teknologi Membran Rawat Air Tercemar

Utusan Malaysia - 2007
Oleh LAUPA JUNUS
TERDAPAT tiga ayat dalam surah Ar-Rahman (Ayat 19-21) yang mafhumnya:
“Dia adakan dua jenis laut (masin dan tawar), yang bertemu keduanya, tetapi di antara keduanya ada dinding sehingga tiada bercampur keduanya. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?”
Manakala terdapat satu ayat dalam surah Al-Furqan ayat 53 yang mafhumnya:
Dia (Allah) yang mempertemukan dua macam laut, yang semacam ini sangat tawar airnya dan yang semacam lagi masin airnya, dan Dia adakan dinding dan larangan yang terlarang antara keduanya”
Surah itu, menurut penyelidik di Ketua Unit Penyelidikan Membran (MRU), Fakulti Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menerangkan apakah sebenarnya konsep membran.
``Wujudnya dinding atau sempadan itulah yang dikenali sebagai membran pada masa ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika di kampus UTM, baru-baru ini.
Menurutnya, teknologi membran didefinisikan sebagai selaput nipis yang boleh mempunyai sifat memilih.
Prestasi membran pula dicirikan oleh dua parameter utama iaitu:
- Kebolehtelapan-yang akan menentukan kadar produktiviti membran
- Keupayaan memilih-menentukan ketulenan produk.
Membran dihasilkan daripada bahan polimer serta bahan bukan organik seperti lumina (sejenis alumunimum oksida), silika atau seramik, kaca dan besi.
Komponen penting pada membran ini ialah liang-liang yang terdapat padanya yang sangat halus bersaiz 0.0001 mikron.
Pada tahap saiz sehalus ini, hanya beberapa kategori zarah-zarah yang mampu melepasinya dan inilah sifat penting membran yang dimanfaatkan dalam industri.
Teknologi membran mula digunakan secara komersial di Jerman pada 1920-an secara kecil-kecilan untuk kerja-kerja pemisahan bakteria.
Pada 1960-an pula, teknologi membran mengalami evolusi dalam kerja-kerja penyahgaraman, manakala pada 1980-an digunakan dalam pemisahan gas berasid seperti karbon dioksida (CO2) dan gas metana (CH4), kedua-duanya merupakan gas rumah hijau.
Penemuan dan pembangunan teknologi ini telah mendapat pengiktirafan dan mula digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.
MRU telah membangun mesin yang mampu mengeluarkan membran yang boleh digunakan dalam proses rawatan air dan air sisa, pemisahan gas berasid, pemisahan bahan bioaktif, pemekatan bahan herba, penyahgaraman air, penghasilan bahan termaju seperti gentian karbon dan penghasilam membran untuk sel bahan api.
Membran dihasilkan melalui proses yang dinamakan sebagai proses fasa balikan. Dalam proses ini larutan polimer tuang menggunakan sistem tuangan atau disemperit (extrusion) menggunakan sistem pemintal (spinning sistem).
Seterusnya, membran tersebut melalui sela udara (air gap) sebelum melalui proses perendaman di mana struktur membran terbentuk sepenuhnya.
Salah satu jenis proses membran tersebut berupaya merawat air dalam proses osmosis balikan (RO).
Osmosis merujuk kepada proses pengaliran air atau cecair melalui selaput separa telap dari larutan berkepekatan rendah ke larutan berkepekatan tinggi manakala osmosis balikan (RO) ialah proses bertentangan dengan osmosis.
Dalam proses ini membran berfungsi sebagai penapis atau penuras pada tahap molekul.
Menurut Ahmad Fauzi, selain penggunaan membran yang memisahkan garam daripada air laut untuk diminum, terdapat dua lagi proses yang biasa digunakan untuk menghasilkan air minum daripada air laut iaitu proses penyulingan kilat dan proses pemeruapan.
Bagaimanapun, teknologi membran merupakan proses yang ekonomik dan kompetitif untuk menghasilkan air minum daripada air laut.
``Malah kerajaan berminat untuk membangunkan teknologi ini (membran) ini untuk untuk menyediakan air minum di Pulau Perhentian, Terengganu.''
``Ini kerana ia merupakan teknologi padat dan boleh ditingkatkan kapasitinya dengan mudah dan menjimatkan tenaga,'' kata Ahmad Fauzi.
Dalam proses ini, teknologi membran berupaya membuang bakteria dan virus daripada air.
Justeru dengan keupayaan teknologi membran memisahkan virus dan bakteria daripada air, bermakna ia merupakan kaedah yang amat sesuai untuk rawatan air termasuk air yang telah digunakan.
Meskipun Malaysia, dianugerahkan dengan sumber alam semula jadi iaitu air dalam jumlah yang banyak, ia bukan penghalang kepada teknologi membran diperkenalkan dalam kitar semula air yang telah digunakan.
``Kita menerima banyak air tetapi mengapa tidak gunakan untuk kitar semula air yang telah digunakan untuk memproses ribuan gelen air yang dibuang oleh industri atau domestik?,'' soal beliau.
Teknologi membran, kata Ahmad Fauzi sepatutnya menjadi pilihan terbaik dalam proses merawat air yang tercemar serta merupakan teknologi yang amat kompetitif untuk membekalkan air kepada kawasan yang terpencil dan pulau-pulau yang menghadapi masalah bekalan air minum.
Dalam nada yang penuh yakin, Ahmad Fauzi berkata, teknologi membran merupakan jawapan terbaik kepada masalah pencemaran air dan pembekalan air kekawasan terpencil pada masa ini.
Menurutnya, ada yang berpendapat dalam proses rawatan air, klorin merupakan satu penyelesaian terbaik tetapi bahan kimia tersebut menghasilkan sisa yang boleh bertindak balas dengan bahan tercemar dalam air seperti bahan bukan organik yang menghasilkan bahan THM (Trihalomethane)- sejenis bahan kimia penyebab kanser.
``Klorin bertindak balas dengan bahan ini, dan apabila kita menggunakan air tersebut dalam jangka panjang ia mendatangkan kesan berbahaya,'' katanya.
Satu lagi kegunaan teknologi membran yang popular dalam penghasilan air tulen ialah air ultraturasan yang biasa digunakan untuk industri elektronik.
Selain itu, teknologi ini juga telah dikenal pasti sebagai sangat ekonomik dalam industri gas dan petroleum untuk proses pemisahan gas CO2.
Malah, sebuah syarikat minyak terkemuka di Malaysia menggunakan teknologi tersebut untuk membangunkan teknologi lepas pantai kerana ia padat menjimatkan tenaga dan kos operasi yang murah sehingga 50 peratus.
Selain dalam industri, teknologi membran juga digunakan dalam bidang-bidang lain seperti perubatan iaitu ciptaan buah pinggang palsu (haemodialisis), bioteknologi, petrokimia, farmaseutikal, bidang tenaga, bahan termaju, industri asas tani serta dalam bidang nanoteknologi.

No comments:

Post a Comment